Electricity Lightning

Syazwan Khairudin

yOU FOLLOW MINE AND I'LL FOLLOW YOURS

Search For Information

Do You Like This Blog?

syazwan khairudin

Tuesday, September 28, 2010

Chelsea cari sentuhan kemenangan


Read more... Selepas menyaksikan Chelsea mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan domestik, pemain sayap Perancis, Florent Malouda bersemangat untuk membantu pasukannya kembali mencari sentuhan kemenangan, apabila menentang juara Perancis, Marseille dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah hari ini.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti memulakan musim baru dengan cemerlang, apabila memenangi semua lima perlawanan liga, namun kempen mereka tiba-tiba bertukar haru biru minggu lalu, bermula disingkir Newcastle United dalam Piala Liga, diikuti kalah 0-1 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana.

Dua kekalahan tersebut merosakkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam semua kejohanan musim ini. Malouda yakin, rentetan kekalahan tidak akan berlanjutan ke perlawanan ketiga, hari ini.

Sejak diambilalih jutawan Rusia, Roman Abramovich pada 2003, Chelsea sudah menghadiahkan beberapa kejuaraan domestik, namun kelab London itu masih belum mencatat kejayaan di peringkat Eropah. Paling hampir mereka melakukannya pada 2008, apabila kalah penentuan penalti kepada Manchester United pada final.

Kejayaan merampas kejuaraan Liga Perdana England musim lalu menaikkan semangat pemilik dan pemain Blues untuk memburu kejuaraan elit Eropah buat kali pertama. Mereka berasakan musim ini adalah peluang terbaik untuk melakukannya.

"Chelsea memasang sasaran besar musim ini - memenangi Piala Eropah. Dua tahun lalu, ia sangat mengecewakan kerana kami hampir menang tetapi kalah tipis,'' ujar Malouda.

Malouda bagaimanapun percaya, Chelsea memiliki skuad yang mantap musim ini, di mana pengalaman dan kekuatan menyeluruh pasukan Blues mampu membantu mereka menyerap tuntutan tinggi untuk bergelar juara Eropah. Pengalaman yang dimiliki oleh Ancelotti, jurulatih yang membawa AC Milan muncul juara dua kali juga akan membantu.

"Pengurus boleh menurunkan satu pasukan pada hari Sabtu dan menurunkan pasukan yang lain pada pertengahan minggu. Kedua-duanya, biarpun berbeza barisan pemain tetapi tetap sebuah skuad berkelas dunia,'' kata Malouda.

Pada ketika Chelsea menjadi pilihan untuk mengalahkan Marseille di Stamford Bridge dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan hari ini, Malouda tetap bimbang dengan kejutan yang bakal dibawa skuad bimbingan Didier Deschamps itu.

United alami krisis kecederaan


Read more... Alex Ferguson berdepan krisis kecederaan dua pemain utama menjelang pertemuan Liga Juara-Juara menentang Valencia, Khamis ini.

Ryan Giggs disahkan tidak tersenarai dalam skuad Manchester United ke Sepanyol, selepas mengalami kecederaan paha ketika United seri 2-2 dengan Bolton, manakala Wayne Rooney masih bergelut untuk cergas sepenuhnya.

Penyerang England, Rooney mempamerkan satu lagi aksi malap, dirundung kecederaan buku lali, sebelum dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 30 minit, sambil Ferguson berharap pemain bintangnya itu akan pulih pada perlawanan menentang Valencia.

"Kecederaan Giggs lebih serius dan mungkin direhatkan untuk beberapa minggu, manakala Rooney dijangka cergas untuk perlawanan Khamis ini," kata Ferguson.

Sebelum ini, United terpaksa melupakan khidmat Antonio valencia, yang cedera buku lali untuk jangka masa panjang, di samping Micheal Carrick dan Owen Hargreaves turut diketepikan.

Ini menyebabkan Ferguson berdepan krisis kecederaan di saat penting musim ini.

Rio Ferdinand juga terlepas aksi Ahad lepas dan pertahanan England itu masih belum bersedia untuk bermain dalam tempoh terdekat, kerana dilanda masalah kecederaan lutut.

Drogba bersemuka bekas kelab lama


Read more... Penyerang Chelsea, Didier Drogba bakal bersemuka dengan bekas kelab di mana dia mencipta nama, Marseille pada perlawanan Liga Juara-juara, esok.

Perlawanan Kumpulan F itu berlangsung di Stamford Brigde, akan menjadi pertembungan pertama Drogba dengan bekas kelabnya itu.

Peminat Marseille masih memuja penyerang Ivory Coast itu, yang turut mengakui hatinya masih bersama kelab Mediterranean itu, walaupun hanya bermain selama semusim.

Drogba menyertai Chelsea pada 2004 dari Marseille, dengan rekod perpindahan kelab, 24 juta pound, bermula baik musim ini dengan lima gol.

Bagaimanapun, penyerang berusia 32 tahun itu tampil dengan aksi hampa, apabila dia dikeluarkan ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Manchester City, sekali gus mengakhiri permulaan sempurna dalam saingan Liga Perdana England.

Sebelum itu, Drogba terlepas perlawanan Liga Juara-Juara apabila Chelsea menewaskan Zillina 4-1, akibat digantung perlawanan.

Penyerang lasak itu akan mengetuai bahagian depan skuad Carlo Ancelotti, untuk memulihkan semangat, setelah tewas buat pertama kali dalam liga, juga kalah kepada Newcastle United dalam saingan Piala Liga, minggu lepas.

Kemenangan ke atas Marseille akan menjadikan Chelsea semakin selesa untuk ke peringkat kalah mati.

Harimau Muda sukar catat kemenangan


Read more... Peluang Harimau Muda untuk mencipta kemenangan pertama di Slovakia semakin sukar, apabila kehilangan lapan pemain utama yang mewakili skuad bawah 23 negara pada Piala Millenium Thang Long di Vietnam, apabila berdepan Liptovsky Mikulas, hari ini.

Situasi itu menyebabkan pengendalinya, Ong Kim Swee tiada pilihan, selain mempertaruhkan pemain simpanan, apabila berdepan Liptovsky, yang menduduki tangga ketujuh Liga Divisyen Satu Slovakia, amat sukar dijinakkan.

Sehubungan itu, Kim Swee tidak meletakkan harapan tinggi kerana sedar barisan pemain simpanannya cetek pengalaman.

‘‘Berbanding lapan pemain lain, mereka yang akan saya akan turunkan masih baru beraksi di Slovakia dan memerlukan masa untuk mendapat rentak.

“Kehilangan lapan pemain serentak, menjejaskan rentak keseluruhan skuad yang telah saya bina sejak perlawanan pertama lagi.

“Namun, itu bukan alasan untuk saya mengibar bendera putih. Saya tetap menaruh harapan kepada barisan simpanan untuk melakar sesuatu dan tidak mustahil Liptovsky boleh dikalahkan, ’’ katanya ketika dihubungi.

Lapan pemain yang mengikuti latihan skuad kebangsaan sejak 21 September lalu ialah K. Gurusamy, Mahali Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd Shas, Mohd. Fandi Othman, Zamir Selamat, Mohd. Muslim Ahmad, Gary Steven Robbat dan Izzaq Faris Ramlan.

Tanpa kelibat mereka, Kim Swee mungkin terpaksa mempertaruhkan kreativiti dua pemain tengah, D. Saarvindran dan S. Sivanesan.

Selain berdepan Liptovsky, Harimau Muda juga tidak dapat menggunakan khidmat lapan pemain tersebut ketika berdepan Zemplin Michalovce pada 6 Oktober ini.

Namun, Gurusamy dan Zamir digugurkan dalam senarai akhir 20 pemain ke Vietnam.

Harimau Muda mencatat dua keputusan dua seri dan dua kali tewas dalam empat perlawanan awal dengan pasukan Liga Divisyen Satu Slovakia.

Tewas 1-3 kepada Ruzemberok B dalam perlawanan pembukaan namun bangkit seri 2-2 ke atas Petrzalka.

Taktik Real Tak Menjadi


Read more... Pengurus baru Real Madrid, Jose Mourinho yang sering mengamalkan corak permainan menyerang, namun hanya menjaringkan enam gol daripada lima perlawanan, gagal menambah jaringan apabila seri tanpa jaringan dengan pendatang baru La Liga, Levante.

Ini merupakan kali kedua Real gagal menjaringkan setakat ini, selepas seri tanpa jaringan dengan Real Mallorca dan ini membuatkan Mourinho pening kepala untuk menjelaskan kegagalan anak buahnya memanfaatkan gol gol.

"Saya sangat risau kerana kami kehilangan empat mata tanpa menjaringkan sebarang gol walaupun mampu melakukannya berdasarkan peluang yang diperolehi.

"Ia perkara yang tidak normal apabila anda gagal menjaringkan dua atau tiga daripada enam peluang yang baik.

"Kami tidak gembira kerana gagal menjaringkan gol, sedangkan mempunyai banyak peluang ketika menentang Levante," katanya.

Real masih belum tewas dalam enam perlawanan liga, namun dua keputusan seri menyebabkan gergasi Sepanyol itu berada pada kedudukan ketiga liga, dua mata di belakang Valencia, satu mata di belakang musuh ketat, Barcelona.

Pertahanan Real tidak mempunyai banyak masalah, kerana hanya bolos satu gol dan pengurus berbangsa Portugis itu berharap bahagian serangan lebih mengancam selepas ini.

"Kami menguasai permainan, ini menunjukkan tidak perlu perubahan taktik.

"Malah kualiti pemain juga tidak harus dipertikaikan, kerana kita tahu semua pemain mempunyai rekod yang cemerlang untuk menjaringkan gol.

"Anda tidak akan menang jika gagal menjaringkan gol walaupun pertahanan sangat bagus," kata bekas pengurus Chelsea dan Inter Milan itu.

Cristiano Ronaldo dan Gonzalo Higuain, masing-masing menjaringkan 53 gol pada musim lepas, mempunyai banyak peluang gol, tetapi gagal menterjemahkan kepada jaringan.

Keputusan itu menyebabkan Real menyerahkan kedudukan teratas liga kepada Valencia.

"Musim lepas kami menjaringkan lebih 100 gol dan ini tidak patut jika kami gagal mengulanginya,'' kata Mourinho.

Sunday, September 26, 2010

United Hampir Di malukan


Read more... Pemain gantian Manchester United, Michael Owen menyumbang gol pertamanya pada musim ini untuk membolehkan pasukan itu mengutip satu mata selepas seri 2-2 menentang Bolton dalam saingan Liga Perdana England, semalam.

Bekas penyerang England itu menjaringkan gol kedua United pada minit ke-71 selepas Nani menyumbat gol pertama United.

Keputusan seri membolehkan Red Devils di tangga kedua, tiga mata di belakang Chelsea.

Pemain sayap Portugal, Nani menunjukkan permainan menarik apabila membawa bola secara solo dari tengah padang dan menembusi pertahanan Bolton untuk menjaringkan gol pada jarak 20 meter pada minit ke-23.

Gol United itu diperoleh selepas Zat Knight mengejutkan gol pembukaan untuk Bolton pada minit ke-6 perlawanan separuh masa pertama.

Pasukan tuan rumah, enggan mengaku kalah dan menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 menerusi Martin Petrov untuk mendahului seketika sebelum Owen mengikat keputusan seri 2-2.

Ini adalah gol ketiga Owen setelah dia menjaringkan dua gol ketika menentang Scunthorpe pada Piala Liga, Rabu lalu.

''Ini perlawanan yang cukup getir dan kami mencipta banyak peluang bagaimanapun gagal untuk menjayakan peluang tersebut.

''Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi kami sedikit kecewa kerana tidak dapat untuk mencapai matlamat.

''Bagaimanapun Bolton tidak boleh dipandang rendah pada perlawanan ini dan kini kami memberikan fokus pada perlawanan seterusnya,'' kata Owen.

Barcelona lonjak tangga kedua


Read more... Penyandang juara, Barcelona memintas musuh tradisi, Real Madrid untuk melonjak ke tangga kedua bola sepak divisyen satu Sepanyol (La Liga) selepas mengalahkan aksi 10 pemain Atletico Bilbao 3-1, semalam.

Barcelona mencatat kemenangan ketiga liga berturut-turut, berterima kasih kepada jaringan babak kedua daripada Seydou Keita, Xavi dan Sergi Busquets yang mengambil kesempatan penuh kekurangan Bilbao, yang kehilangan seorang pemain pada minit ke-33 selepas Fernando Amorebieta dilayangkan kad merah.

Walaupun Barcelona juga terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas penyerang Sepanyol, David Villa dibuang padang pada minit terakhir permainan, namun jaringan Busquets pada masa kecederaan cukup untuk memastikan pasukan itu pulang bersama tiga mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Real gagal memecah kebuntuan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pendatang baru, Levante untuk membuka jalan kepada Barca memintas mereka. Begitupun, Valencia menjadi pendahulu baru liga dengan kelebihan satu mata selepas mengalahkan Sporting Gijon 2-0.

"Ini adalah keputusan yang tidak normal, apatah lagi selepas melihat kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Ia keadaan yang membimbangkan saya kerana anda memerlukan jaringan untuk menang dan sekarang kami melepaskan beberapa mata.

"Kualiti pemain bukan masalah utama kerana mereka adalah pemain yang biasa menjaringkan gol yang banyak,'' kata jurulatih Real, Jose Mourinho.

Real menjadi penjaring terbanyak musim lalu dengan 102 gol, namun di bawah kendalian Mourinho, pasukan itu cuma menjaringkan enam gol dalam lima perlawanan liga setakat ini.

Bagi Real, Liga Juara-Juara adalah keutamaan mereka selepas ini, dan pasukan itu akan bertandang ke Perancis untuk berdepan Auxerre esok.

Sementara itu, Barca menggunakan sepenuhnya kesempatan berdepan 10 pemain Bilbao dalam sebahagian besar permainan untuk mencatat kemenangan 3-1 di San Mames.

Beraksi dalam keadaan hujan, pasukan pelawat bagaimanapun mengetepikan faktor padang licin. Barcelona mendapat kelebihan pada minit ke-33, apabila Amorebieta yang melakukan terjahan keras terhadap Andres Iniesta dilayangkan kad merah.

Ketika saingan hampir tamat, Barcelona cemas seketika selepas Igor Gabilondo berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-90 dan seminit kemudian, Villa pula dibuang padang kerana menolak Carlos Gurpegi.

Wenger Pertahan Almunia


Read more... Pengurus Arsenal, Arsene Wenger enggan menyalahkan Manuel Almunia atas dakwaan dua kesilapan yang dilakukan penjaga gol itu sehingga menyebabkan Gunners tewas 2-3 di tempat sendiri kepada West Bromwich Albion.

Selepas gagal mendapatkan penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer, Wenger mengambil keputusan untuk tetap menyenaraikan Almunia sebaik pasaran perpindahan ditutup.

Kegagalan Gunners untuk mendapatkan penjaga bertaraf dunia kembali menghantui mereka di Stadium Emirates, kelmarin tatkala Almunia melakukan dua kesilapan sehingga membolehkan pasukan lawan memperoleh gol.

Wenger bagaimanapun menolak untuk menyalahkan Almunia semata-mata.

"Anda boleh tertanya-tanya terhadap ramai pemain jika mahu menyoal tentang prestasi, terutama sekali bahagian pertahanan. Ramai pemain melakukan kesilapan yang teruk.

"Saya tidak mahu hanya menyalahkan aksi seorang pemain sahaja, kami memang bermain dengan teruk.

"Anda boleh memilih ramai pemain untuk dipersalahkan. Secara keseluruhan ia adalah pasukan yang buruk dan kami harus menganalisis kenapa ia berlaku," katanya.

Almunia melepaskan gol melalui jaringan penalti pada separuh masa pertama selepas dia menjatuhkan Peter Odemwingie tetapi penjaga gol itu berjaya menafikan sepakan yang diambil Chris Brunt.

Odemwingie membuka jaringan dan selepas itu Almunia membenarkan Gonzalo Zara melepaskan rembatan jarak dekat mengatasinya, malah dia juga keluar terlalu awal untuk menyaksikan gol ketiga menerusi Jerome Thomas yang menolak masuk bola melepasi gawang bekas kelab lamanya.

Samir Nasri membalas dengan dua gol tetapi Wenger begitu kecewa dengan prestasinya.

"Saya percaya perlawanan ini tidak boleh diterima. Sebelum kami menentang West Brom dengan mempamerkan aksi mantap.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku. Kami harus duduk bersama untuk menganalisis apa yang berlaku. Prestasi kami tidak baik." katanya.

Pengurus West Brom, Roberto Di Matteo merasakan pasukannya layak untuk memperoleh mata maksimum.

"Saya mahu mengatakan kami berhak memperolehnya, cara kami bermain, mencipta peluang, menjaringkan gol dan bermain dengan baik.

"Kami terlepas meluangkan menjaringkan gol melalui sepakan penalti, saya tidak pasti tentang kad kuning kepada penjaga gol. Ia menjadi tanda tanya sama ada dia sepatutnya kekal atau tidak.

"Kami meletakkan tekanan kepada mereka. Kami cuba untuk tidak memberikan mereka ruang bermain seperti biasa.

Jaringan Liverpool sah - Pegawai liga


Read more... Pengadil, Stuart Atwell membuat keputusan tepat dengan membenarkan gol pembukaan kontroversi Liverpool yang dijaringkan oleh Dirk Kuyt untuk membantu pasukannya seri 2-2 dengan Sunderland dalam saingan Liga Perdana England, kelmarin.

Dalam perlawanan di Anfield itu, Sunderland dihadiahkan sepakan percuma di kawasan sendiri pada minit keenam dan Michael Turner yang mengambil tendangan menolak bola ke belakang untuk dihantar kepada penjaga gol, Simon Mignolet.

Namun, sepakan lemahnya pantas disambar oleh Fernando Torres yang kemudian yang menghantar bola untuk disudahkan Kuyt.

Ia tidak jelas, sama ada Turner sememangnya mengambil sepakan itu atau hanya berniat untuk menghantar bola kepada Mignolet dan meminta penjaga gol itu melakukan tendangan.

Atwell yang tidak melihat insiden sebenar telah membenarkan jaringan tersebut selepas mendapatkan pandangan daripada penjaga garisan.

"Ketika gol pertama masuk, semua orang di stadium tahu bahawa sepakan percuma belum diambil,'' kata pengurus Sunderland, Steve Bruce yang berang.

Bagaimanapun, Pegawai Rasmi Perlawanan Profesional Liga Perdana (PGMO) selepas menghalusi insiden berkenaan mendapati, tindakan Atwell membenarkan gol adalah tepat.

"Berdasarkan Peraturan Dalam Perlawanan, selepas menghentikan permainan atas sebarang kesalahan, pengadil kena mengarahkan supaya perlawanan disambung semula.

"Amalan yang biasa digunakan dalam kebanyakan kes, pengadil akan menyambung perlawanan dengan mengarahkan pemain mengambil sepakan bebas. Biasanya, tidak banyak isyarat yang digunakan oleh pemain sebelum mengambil tendangan... dalam peraturan juga tidak menyebut wisel mesti ditiupkan untuk membolehkan sepakan diambil.

"Perlawanan sudah bermula sebaik bola disepak dan bergerak. Jadi, dalam kes ini.. perlawanan sudah disambung sebaik pemain Sunderland menyepak bola.

"Seperkara lagi, dalam peraturan juga menyebut, sepakan kena diambil di tempat kejadian di mana kesalahan di lakukan. Sekali lagi, dalam kes ini, pengadil berhak membenarkan sepakan itu kerana ia dibuat di tempat yang sepatutnya,'' kata PGMO dalam satu kenyataan.

Dua gol daripada penyerang England, Darren Bent bagaimanapun membolehkan Suderland menyamakan kedudukan, kemudian mendahului 2-1.

Namun, ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard memastikan tuan rumah menutup saingan dengan seri 2-2 selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Roy Hodgson berkata, pengadil membuat keputusan yang tepat dengan membenarkan jaringan Kuyt.

"Malah, saya rasa Torres dan Kuyt berfikir dengan pantas. Saya tidak fikir gol pertama patut dibatalkan,'' kata Hodgson.

Saturday, September 25, 2010

Chelsea Tumbang Di Tangan Man.City


Read more... Carlos Tevez menamatkan permulaan cemerlang Chelsea musim ini, selepas jaringan tunggalnya memberikan Manchester City kemenangan 1-0 ke atas penyandang juara Liga Perdana England itu, semalam.

Chelsea, yang memenangi semua lima perlawanan awal, kalah buat kali pertama setakat ini, hasil jaringan Tevez pada minit ke-59.

Jaringan kemenangan itu bermula selepas dia membawa bola bersendirian dari garisan tengah, tanpa dicabar pemain lawan.

Selepas mengambil keputusan tidak melakukan hantaran kepada David Silva yang tidak dikawal, Tevez memperdaya Ashley Cole, dengan merembat leret di celah-celah kaki pertahanan lawan dari luar petak penalti menewaskan penjaga gol, Petr Cech.

Sebelum itu, Chelsea hampir mendahului pada minit ke-27, apabila hantaran silang Florent Malouda ditanduk Alex, sebelum disambung oleh Branislav Ivanovic, juga melalui tandukan tetapi bola terkena palang, ketika percubaan susulan pemain Serbia itu mudah diselamatkan Joe Hart.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengkritik aksi pasukannya dan enggan merungut dengan kekalahan tersebut, selepas mereka tersingkir dari Piala Liga Rabu lalu, apabila kalah kepada Newcastle.

"Kami tidak bermain seperti yang diharapkan, kami tidak mampu menggunakan kualiti yang ada, ini menjadikan keadaan sangat rumit.

"City bermain baik di bahagian tengah dan mereka sentiasa mematahkan serangan kami, mereka berhak menang," katanya.

Aksi semalam merupakan kali kedua Chelsea dibolosi setakat ini dan terus hampa untuk membalas jaringan Tevez apabila Didier Drogba dikeluarkan pada minit ke-75.

Ferguson resah prestasi Rooney


Read more... Alex Ferguson bimbang dengan prestasi bintangnya, Wayne Rooney yang mulai merosot selepas kisah peribadinya didedahkan, apabila Manchester United beraksi di Stadium Reebok, hari ini.

Rooney menerima tamparan hebat baru-baru, setelah media mendedahkan kisah hidup penyerang England itu secara terperinci.

Penyerang berusia 24 tahun itu hanya menjaringkan dua gol sahaja setakat ini, berbanding enam gol dalam tempoh yang sama musim lepas, menunjukkan Rooney bergelut untuk mengatasi masalah terbarunya.

“Saya tidak percaya dia mempunyai masalah dari segi keyakinan.

“Cuma Rooney mula sedar. Dia menyedari apa maksudnya jika menjadi tumpuan media untuk soalan yang tiada kaitan dengan bola sepak.

‘‘Saya tidak fikir dia mampu mengalihkan perhatian media terhadap dirinya ketika ini,’’ kata Ferguson.

United berkunjung ke padang Bolton Wanderes dengan misi meneruskan pencapaian cemerlang, selepas menewaskan musuh tradisi, Liverpool 3-2 minggu lepas.

“Rooney tidak boleh bergerak tanpa paparazzi disekelilingnya, sebagai pemain muda, itu bukan yang dia dimahukan,

“Anda mahu beraksi dan menikmati permainan bola sepak tanpa sebarang gangguan. Gangguan akan meletihkan anda.

“Dia mahu terus bermain dengan bebas, tetapi media sering membuat dia tertekan,”.

Wednesday, September 22, 2010

Sumbangan Ronaldo


Read more... Cristiano Ronaldo, Gonzalo Higuain dan Karim Benzema masing-masing meledakkan gol untuk membantu Real Madrid menumpaskan Espanyol 3-0 dalam perlawanan La Liga, kelmarin.

Pemain sayap Portugal itu membuka jaringan dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-28 dalam aksi di Stadium Santiago Bernabeu.

Ketika kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain, Higuain mendapat bola menerusi hantaran Carlos Kameni dan merembat deras pada minit ke-78 untuk kedudukan 2-0.

Benzema menggantikan Higuain dan berganding kemas dengan Lassana Diarra, apabila penyerang Perancis itu mengelecek dua pertahanan Espanyol, sebelum merembat deras pada minit ke-88.

Madrid mengambil alih teraju liga buat seketika, namun Valencia mampu merampas semula kedudukan teratas apabila menentang Atletico Madrid kemudiannya.

"Keputusan ini amat bagus kerana kami melalui perlawanan sukar. Ia jaringan yang sangat penting buat saya,'' kata Benzema.

Athletic Bilbao meneruskan permulaan baik dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Mallorca, manakala Osasuna meraih kemenangan pertama 3-1 ke atas Real Sociedad.

Benzema, yang dimasukkan sebagai pemain gantian dalam lima perlawanan berturut-turut, mahu membuktikan kepada pengurus, Jose Mourinho bahawa dia sudah bersedia untuk memberi sumbangan.

"Saya harap lebih kerap diturunkan untuk menjaringkan gol. Saya sedia bekerja keras demi Mourinho,'' kata Benzema.

Messi tiada pengganti


Read more... Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola semalam mengakui, kekosongan yang ditinggalkan Lionel Messi, yang diketepikan akibat kecederaan hampir tiada pengganti, namun dia cuba mengatasi masalah itu dalam dua perlawanan liga La Liga.

Messi terlepas aksi liga menentang Sporting Gijon hari ini, selain turut disisihkan daripada pertemuan dengan Athletic Bilbao, Sabtu ini selepas buku lalinya terkehel akibat diasak keras oleh pertahanan Atletico Madrid, Tomas Ujfalusi dalam saingan liga, hujung minggu lalu.

Pemain Terbaik Dunia itu, yang menjaringkan gol pembukaan ketika Barcelona menang 2-1 di Calderon, Sabtu lalu, juga masih tidak pasti dapat diturunkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Rubin Kazan, 29 September ini.

"Dia (Messi) mempunyai bakat yang amat istimewa. Dia hampir tidak boleh digantikan, tetapi kami hanya mahu memandang ke depan dan bernasib baik, kami hanya kehilangannya untuk tempoh yang singkat,'' kata Guardiola.

Menurut Guardiola, Messi dijangka kembali ke pangkuan pasukan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, namun Barca tidak akan terburu-buru untuk menurunkan pemain itu.

"Saya tidak tahu sama ada dia sempat untuk beraksi dalam perlawanan menentang Rubin Kazan. Dia akan berehat sehingga dia benar-benar sembuh,'' kata Guardiola lagi, yang juga bekas pemain tengah Barcelona dan Sepanyol.

Sementara itu, jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Sepanyol menjatuhkan hukuman gantung dua perlawanan ke atas Ujfalusi kerana melakukan asakan keras yang mengakibatkan kecederaan.

Pemain pertahanan Republik Czech itu dilayangkan kad merah kerana insiden tersebut dan meminta maaf kepada Messi kerana mengkasarinya secara tidak sengaja.

"Saya bukan pemain yang kasar. Saya mungkin melakukan terjahan yang keras tetapi saya cuba mendapatkan bola. Saya melakukannya tanpa niat kerana saya sentiasa bermain dengan sepenuh perasaan dalam setiap perlawanan,'' kata Ujfalusi,

Bekas pemain Fiorentina itu mendapat sokongan pengurus England, Fabip Capello, yang kini berada di Madrid untuk menghadiri persidangan UEFA, badan bola sepak Eropah. "Saya amat mengenali Ujfalusi, beliau seorang pemain yang jujur.

"Saya harap Messi dapat kembali dengan cepat kerana dia adalah pemain yang bagus dan sentiasa menunjukkan aksi menarik di atas padang,'' kata Capello.

Barca buru kemenangan tanpa Messi


Read more... Penyandang juara, Barcelona mahu memburu kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini, apabila menentang Sporting Gijon di Camp Nou, hari ini.

Pasukan Pep Guardiola kalah 0-2 kepada pendatang baru Hercules pada perlawanan pertama di padang sendiri, namun bangkit dengan kemenangan 5-1 ke atas Panathinaikos pada Liga Juara-Juara dan menang 2-1 ke atas Atletico Madrid, Ahad lalu.

Barca, di tangga keenam liga, satu mata di belakang Real Madrid dan tiga mata di belakang pendahulu, Valencia, terpaksa melakukannya tanpa pemain bintang Lionel Messi, untuk tempoh 10 hari berikutnya, apabila pemain Argentina itu terkehel pergelangan kaki kanan ketika menang ke atas Atletico.

Messi dibentes keras oleh pertahanan dari Republik Czech, Tomasz Ujfalusi, yang kemudiannya dibuang padang.

"Kami gembira dengan kemenangan di Atletico, yang mana ia sepatutnya berakhir dengan kemenangan 5-1, ekoran beberapa peluang gol.

"Namun, kami kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Messi. Bukan hanya Cristiano Ronaldo (Real Madrid) yang harus dilindungi. Pengadil sepatutnya melindungi semua pemain,'' kata pengendali Barca, Pep Guardiola.

Dengan ketiadaan Messi, beban menjaringkan gol kini digalas penyerang Sepanyol, David Villa, yang menyertai Barca dari Valencia. Dia mahu menambah gol liga selepas menjaringkan gol pada aksi sulungnya bersama Barca.

Ia merupakan perlawanan yang istimewa buat Villa, yang memulakan kariernya di Sporting Gijon, sebelum menjadi pemain berkelas dunia bersama Valencia dan kini bersama Barcelona.

Kelab lama Villa, Valencia dijangka bergelut tanpa sentuhan pemain itu musim ini, namun juara 2004 itu kini di tangga teratas liga dengan sembilan mata, dua mata mengatasi Sevilla dan Real Madrid.

Tuesday, September 21, 2010

Berbatov sedia tawan EPL


Read more...
Alex Ferguson percaya Dimitar Berbatov sudah bersedia untuk mendominasi Liga Perdana England, selepas penyerang Bulgaria itu meledak hatrik menewaskan Liverpool, kelmarin.

Setelah diselar kerana perpindahannya bernilai 30 juta pound (RM145 juta) dari Spurs pada 2008 tidak berbaloi, Berbatov membalas kepercayaan Ferguson dengan menjaringkan gol menakjubkan dalam kemenangan klasik 3-2 di Old Trafford.

Selepas aksi kurang meyakinkan musim lepas, Berbatov telah menjaringkan tujuh gol setakat enam perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, termasuk gol kedua yang hebat menerusi gaya akrobatik ketika menentang Liverpool.

Ketika praperlawanan, Ferguson memberi amaran kepada Berbatov bahawa kempen musim ini sangat besar buatnya dan pemain yang memegang rekod perpindahan termahal itu akhirnya memberi reaksi yang positif.

“Jaringan kedua memang tidak dijangkakan, ia percubaan mengejut. Tidak ramai yang melakukan percubaan seperti itu berakhir dengan bola masuk ke dalam gawang, kami pernah melihatnya dan ia berlaku sekali lagi, hari ini dia berjaya melakukannya.

“Kami lihat Dimitar mula percaya kepada dirinya sendiri. Banyak kritikan dilemparkan kepadanya musim lepas, ia berlaku terhadap pemain yang menyertai United dengan nilai perpindahan yang tinggi dan mereka tidak melakukan hatrik setiap perlawanan.

“Ia adalah cara beberapa pemain yang datang ke sini tetapi musim ini dia bermula dengan cara yang betul. Latihannya sudah bagus, dia beraksi pada jelajah pra-musim.

“Tidak boleh diragui kualitinya dan kami melihatnya sekali lagi hari ini,” kata Ferguson.

Ferguson, yang sememangnya berhajat untuk menewaskan Liverpool, menjadi saksi pertemuan terbaru di antara dua musuh tradisi itu yang berakhir dengan kemenangan pasukannya.

Pengurus veteran itu sangat gembira dengan kemenangan tersebut.

“Kemenangan ini merupakan satu ujian. Ketika ini orang bercakap tentang Liverpool yang kalah.

‘‘Ia akan menjadi perkara yang sama jika kami tidak menang. Ia adalah perkara yang biasa dalam perlawanan,” ujarnya.

Ferguson juga mengulas mengenai penyerang Liverpool, Fernando Torres yang berjaya mendapatkan sepakan bebas untuk membolehkan Steven Gerrard menjaringkan gol penyamaan selepas kekasaran dilakukan ke atasnya oleh John O’ Shea.

“Saya melihatnya, amat jelas Torres berlakon, ia tidak boleh disangkal lagi. Dia cuba supaya pemain kami diperintah keluar padang,” kata Ferguson.

Selepas Gerrard menjaringkan gol melalui sepakan penalti dan sepakan percuma, Berbatov menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84, untuk meraih tiga mata.

“Pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya ketika kedudukan 2-2.

‘‘Namun, kami menunjukkan semangat melawan yang tinggi, kami bersaing sehingga tamat perlawanan.

“Kami harap pada masa akan datang, kami tidak akan mengusutkan lagi keadaan. Kami akan terus bekerja keras. Perjalanan masih panjang. Saya berharap pada penghujung saingan nanti, kami berada di tangga teratas,” kata Berbatov.

Man. City ujian sebenar anak buah Ancelotti.


Read more... Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui pasukannya bakal berdepan ujian sebenar dalam perlawanan bakal mendatang selepas mengalahkan Blackpool 4-0, kelmarin.

Dua gol Florent Malouda dan masing-masing satu daripada Salomon Kalou serta Didier Drogba membolehkan Chelsea mencatat kemenangan kelima liga, empat hari selepas menewaskan MSK Zilina 4-1 dalam aksi sulung Liga Juara-Juara.

Chelsea meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan dengan cemerlang walaupun Ancelotti mengakui lawan mereka terlalu mudah dan kekuatan Blues belum teruji sepenuhnya.

Bagaimanapun, kunjungan Chelsea ke Manchester City minggu depan belum boleh diramal dan bekas pengurus AC Milan tersebut berharap dapat meneruskan momentum itu.

"Mungkin kami mempunyai perlawanan mudah sebelum ini. Setiap perlawanan boleh menjadi mudah dan jika tidak bermain dengan baik, perlawanan akan menjadi sukar.

"Kami belum lagi menentang pasukan yang lebih kuat tetapi kami bermain dengan baik setakat ini dan itu merupakan perkara yang penting," kata pengurus kelahiran Itali itu.

Ancelotti menegaskan, anak-anak buahnya perlu mengekalkan tahap permainan mereka untuk menewaskan pasukan yang lebih kuat.

"Saya fikir amat penting buat pasukan untuk menunjukkan keyakinan dalam setiap perlawanan dan kami perlu sedar saingan selepas ini lebih sukar.

"Jika kami mampu bermain dengan tahap terbaik menentang pasukan seperti City, maka ia akan menjadi ujian yang getir untuk ditempuhi," ujar Ancelotti.

Apa pun, Chelsea perlu melayan kunjungan Newcastle United dalam pertemuan Piala Liga dan Ancelotti bakal membuat beberapa perubahan dengan merehatkan pemain-pemain senior.

Perubahan itu akan memberi lebih masa kepada pemain pertahanan, John Terry untuk pulih daripada kecederaan tulang rusuk manakala pemain tengah, Frank Lampard dijangka diturunkan menentang City selepas menjalani pembedahan burut.

"Lampard mungkin cergas sepenuhnya untuk berdepan City dan Terry akan pulih dalam dua atau tiga hari lagi," tambah Ancelotti.

Barcelona tamat badi di Atletico


Read more... Penyandang juara, Barcelona kembali berada di landasan mempertahankan kejuaraan La Liga selepas menamatkan badi di Vicente Calderon dengan menundukkan Atletico Madrid 2-1 semalam untuk mengekori pendahulu, Valencia dengan tiga mata di belakang.

Barcelona yang diaibkan pendatang baru liga, Hercules 0-2 di tempat sendiri, minggu lalu tewas dalam dua kunjungan ke Calderon sebelum ini, namun semalam, dua gol babak pertama menerusi bintang penyerang Argentina, Lionel Messi dan bintang Piala Dunia Sepanyol, Gerard Pique berjaya memberi kekalahan pertama Atletico, musim ini.

“Kami terlepas beberapa peluang terbaik dan penjaga gol mereka (David) de Gea mempamer permainan yang menakjubkan.

“Pada penghujung perlawanan, dua gol sudah memadai. Ia adalah kemenangan yang penting meskipun kami tidak mempunyai rehat yang cukup kerana akan menghadapi satu lagi perlawanan Rabu ini (menentang Sporting Gijon),’’ kata penyerang Barcelona, David Villa.

Ini adalah kemenangan pertama buat jurulatih Barcelona, Pep Guardiola di Atletico, sekali gus membolehkan pasukannya mendaki ke kedudukan keenam liga, satu mata di belakang musuh ketat, Real Madrid.

Kegembiraan Guardiola itu bagaimanapun sedikit terencat apabila Messi terpaksa diusung keluar pada minit terakhir kerana kecederaan buku lali selepas disepak pertahanan lawan, Tomasz Ujfalusi.

Messi dijangka terpaksa direhatkan dua minggu selepas doktor mengesahkan ligamen buku lali kanan pemain itu rosak.

Dalam satu lagi perlawanan, juara liga 2002 dan 2004, Valencia merampas takhta liga daripada Real selepas menundukkan Hercules 2-1 untuk mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan.

Valencia kini dua mata mengatasi Real dan Sevilla, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Malaga 2-1, berterima kasih kepada jaringan Alejandro Alfaro dan Martin Caceres.

Ini adalah kekalahan kedua Atletico dalam tempoh seminggu, selepas tumpas 0-1 kepada Aris Salonica dalam saingan Liga Europa. Bagaimanapun mereka kekal di tangga keempat liga dengan perbezaan gol ke atas Barca.

Sunday, September 19, 2010

Hari istimewa Fergie


Read more... Alex Ferguson mendakwa pertembungan Liverpool-Manchester United terus menjadi perlawanan yang dinanti-nanti oleh semua, sekalipun kelab Anfield itu dilanda kemerosotan prestasi

Menjelang pertemuan dengan anak buah Roy Hodgson di Old Trafford malam ini dengan masing-masing terikat dengan 18 kejuaraan, pengurus berbangsa Scotland itu membuka cerita bahawa matlamat utamanya ketika tiba di Old Trafford pada 1986, adalah menyanggah Liverpool ‘daripada singgahsana utama.Dan sekalipun dipintas Chelsea yang menjulang mahkota Liga Perdana Inggeris musim lalu serta diatasi kelab jiran Manchester City yang berbelanja besar dalam pasaran perpindahan, tarikh pertemuan dengan Liverpool masih menjadi hari terpenting dalam diari tahunannya.
“Saya berulang kali berkata, setiap kali jadual perlawanan dikeluarkan, ia akan menjadi jadual yang penting, tidak syak lagi. Malah berdasarkan sejarah, pertemuan dengan Liverpool sentiasa sengit tetapi saya tidak perlu merenung sejarah setiap masa.”

Umum mengetahui betapa hubungan Ferguson dengan jurulatih Liverpool lalu, Rafa Benitez amat dingin dengan pengurus United itu menegaskan dia tidak pernah menganggap ia bersifat ‘peribadi’ dan sebaliknya kini, dia menyanjungi tinggi pengganti Benitez, Hodgson.

“Anda perlu menilai dirinya (Benitez), bukan saya,” kata Ferguson.

Dan semalam, Ferguson terbukti masih memperlekehkan Benitez yang kini menjadi pengurus Inter Milan apabila berkata, Benitez adalah punca sebenar kemerosotan Liverpool yang sekadar menduduki tangga ketujuh liga musim lalu..

Toure Mahu City Bukti Kekuatan Sebenar


Read more... Manchester City berkunjung ke Wigan hari ini bagi melangsaikan perlawanan yang termasuk dalam kategori perlu dimenangi sekiranya mereka serius mahu mencapai impian Liga Juara-Juara, kata Yaya Toure.

Toure, menyertai City dari Barcelona musim panas lalu, mulai menyesuaikan diri dengan saingan sebenar Liga Perdana Inggeris dan setakat kini membuktikan jumlah 24 juta pound (RM118 juta) dibelanjakan Roberto Mancini untuk mendapatkannya, berbaloi.

Selepas mengatasi Red Bull Salzburg dalam saingan Liga Europa Khamis lalu, keyakinan City memuncak semula selepas dilanda kekecewaan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Dua minggu lalu, mereka tewas kepada Sunderland dan sekadar seri 1-1 dengan Blackburn Rovers minggu lalu.
Selepas membelanjakan lebih 100 juta pound (RM492 juta) akhir musim lalu, keputusan sebegitu, ke atas pasukan yang sepatutnya mampu ditewaskan City, sekadar menambahkan lagi tekanan ke atas Mancini serta anak buahnya.

Toure juga tidak terlepas daripada tekanan dan mengutip tiga mata ke atas skuad Roberto Martinez akan membuka laluan City terus memburu tempat dalam kelompok empat teratas liga.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar,” kata pemain tengah itu. “Wigan adalah pasukan seperti Sunderland dan Blackburn, mereka bekerja keras, ia tidak akan memudahkan kami tetapi tiga mata amat penting.

“Wigan pasti bertambah yakin selepas menundukkan Tottenham.

Thursday, September 16, 2010

Ancelotti tabik Anelka


Read more... Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti memuji aksi penyerang kontroversi Perancis, Nicolas Anelka selepas pasukannya menang selesa 4-1 ke atas Zilina dalam saingan Liga Juara-Juara.

Anelka, yang menjadi tajuk utama akhbar pada Piala Dunia kerana dihantar pulang oleh jurulatih Raymond Domenech, meledak dua gol pada aksi semalam.

Dia turut memainkan peranan utama bagi memastikan juara Liga Perdana itu mengharungi aksi di tempat lawan di Slovakia tanpa masalah, selepas membuka gerakan gol pembukaan yang disempurnakan oleh Michael Essien.

“Perancang utama perlawanan ini adalah Anelka. Aksinya menakjubkan, dia membuka ruang, mencipta peluang gol, menjaringkan dua gol dan membuka gerakan untuk Essien menjaringkan gol pertama.

“Dia boleh beraksi di mana-mana bahagian di posisi depan. Kadang kala kami menggunakan dia secara bebas, dia juga mampu beraksi di bahagian tengah.

‘‘Malam ini dia mempamerkan skil yang menakjubkan,,’’ kata Ancelotti.

Jurulatih Zilina, Pavel Hapal turut memuji sumbangan Anelka.

“Bagi saya pemain terbaik perlawanan ini adalah Anelka,” katanya.

Essien membuka jaringan pada minit ke-13, menerusi sepakan rendah, selepas mendapat hantaran Anelka dari sebelah kiri.

Pada minit ke-24, Anelka menewaskan penjaga gol Zilina, Martin Dubravka dengan sepakan rendah selepas Florent Malouda menghantar bola lambung di tengah pertahanan pasukan lawan.

Anelka membuatkan penyokong tuan rumah terdiam empat minit kemudian, apabila menjadikan kedudukan 3-0, apabila mudah menanduk bola yang melantun, selepas percubaan ketua pasukan Chelsea, John Terry terkena palang.

Daniel Sturridge menjaringkan gol keempat Chelsea pada minit ke-48, apabila mengelecek pertahanan lawan selepas mendapat hantaran Yossi Benayoun.

“Babak pertama cukup menakjubkan. Kami bermain amat tersusun terutama menerusi serangan balas. Kami banyak mencipta peluang gol. Ia prestasi yang mengkagumkan.

“Babak kedua berbeza. Kami menguasai perlawanan. Kami melakukannya sangat baik, kami bermula baik dalam Liga Juara-Juara, semuanya bagus ketika ini,’’ kata Ancelotti.

Zilina menjaringkan gol saguhati pada minit ke-55 menerusi Tomas Oravec.

Perlawanan seterusnya Kumpulan E ialah pada 28 September dengan Chelsea menanti kedatangan Marseille, yang kalah kepada Spartak Moscow 1-0, semalam manakala Zilina akan beraksi di Moscow.

Arsenal Kenduri Gol


Read more... Arsenal membelasah kelab Portugal, Braga 6-0 pada aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara Juara dengan ketua pasukan, Cesc Fabregas dan Carlos Vela masing-masing menjaringkan dua gol.

Braga, yang cemerlang setelah menewaskan Celtic dan Sevilla untuk layak ke saingan peringkat kumpulan, gagal menyaingi Arsenal pada perlawanan di di Stadium Emirates.

''Kami beraksi seperti mana yang kami rancang, mengekalkan rentak permainan yang kreatif dan berkualiti serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan, di samping semangat juang yang tinggi.

"Kami berlandaskan gaya permainan seumpama itu. Ia merupakan falsafah kami dan kami berjaya menterjemahkannya,'' kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Arsenal dihadiahkan penalti pada awal permainan, setelah Marouane Chamakh dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol, Luiz Felipe.

Penalti disempurnakan oleh Fabregas pada minit kesembilan, apabila memperdayakan Felipe dengan merembat bola di sebelah kiri pintu gol.

Pertahanan Braga hanya mampu bertahan hingga minit ke-30, apabila Fabregas mengelecek dua pemain untuk menghantar bola kepada Andrei Arshavin, bagi membolehkan bintang Rusia itu melakukan voli kaki kanan, untuk gol kedua Arsenal.

Gol ketiga Gunners hadir empat minit berikutnya, apabila Jack Wilshere menolak bola ke arah Chamakh, sebelum pemain itu meledakkan jaringan ke gawang.

Fabregas menambah derita Braga, apabila menanduk masuk bola hasil hantaran Arshavin pada minit ke-53. "Ini merupakan satu pendedahan yang baik, kerana dalam Liga Perdana mahu pun Liga Juara Juara, kami perlu mengharungi perlawanan yang sukar,'' kata Fabregas.

Pemain gantian separuh masa kedua, Vela menjaringkan gol kelima Arsenal pada minit ke-69, selepas Arshavin berjaya menggelecek dua pertahanan lawan, dengan menyungkit bola menerjah ke jaring.

Vela sekali lagi menggegar gawang lawan pada minit ke-84, setelah menerima hantaran Fabregas, yang melakukan sepakan voli kaki kiri.

Perlawanan tersebut merupakan penampilan sulung Braga dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara Juara, selepas menduduki tempat kedua dalam Liga Portugal, musim lalu.

Braga pernah dikenali sebagai Arsenalistas, kerana menggunakan warna kelab dari London itu pada 1921.

"Kami melakukan banyak kesilapan. Amat sukar untuk kami bermain seperti mana kami pamerkan malam ini.

"Menamatkan perlawanan pada babak pertama dengan aksi seperti ini, adalah pengalaman buruk buat kami,'' kata jurulatih Braga, Domingos Paciencia.

Wenger menambah, dengan gaya permainan yang dipamerkan, pasukannya mampu memenangi Liga Juara Juara.

"Anda perlu ingat kami merupakan antara lapan kelab terbaik Eropah, terima kasih kepada pencapaian yang kami pamerkan setiap tahun, tetapi kami masih belum memenangi kejuaraan ini.

Bayern dikerah sebelum atasi Roma


Read more... Jurulatih Bayern Munich, Louis van Gaal meminta peminat kelab gergasi Jerman itu menunjukkan sedikit kesabaran, selepas mereka bekerja keras untuk menang 2-0 ke atas Roma, dalam Liga Juara-juara semalam.

Dengan 66,000 penonton di Arena Allianz, Munich resah pada perlawanan Kumpulan E apabila hampir seri tanpa jaringan, sehinggalah pemain Jerman, Thomas Mueller menceriakan malam yang membosankan, dengan rembatan lencung yang cantik pada minit ke-79.

Kekentalan pertahanan Roma dirobek dan Bayern meningkatkan rentak pada babak akhir, ketika pemain kelab dari Itali itu mula kepenatan.

Pemain gantian babak kedua, Miroslav Klose menyambung sepakan bebas untuk meraih gol kedua pasukannya dan memastikan kemenangan.

Pernah mara ke perlawanan akhir musim lalu sebelum kalah 0-2 kepada Inter Milan, Bayern gagal menyerlah dalam Bundesliga setakat ini, tetapi van Gaal meminta peminat memberikan pasukan itu lebih masa untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya fikir kami bermain amat baik. Pasukan lawan cuma bertahan, ini menyebabkan keadaan menjadi sukar. Selepas 70 minit, pemain Roma tidak mampu berlari lagi.

"Peminat mesti faham bahawa kami memerlukan masa untuk merobek gawang lawan. Kami mencipta dua gol yang cantik dan mampu menjaringkan lagi, jadi ia menakjubkan.

"Saya fikir adalah sukar untuk menentang sebuah pasukan yang bertahan 10 orang di bahagian pertahanan.

''Ia mengambil masa untuk menembusi pertahanan mereka, tetapi kami berjaya melakukannya.

"Anda boleh melihat mereka kepenatan selepas 70 minit dan apabila memiliki peluang, kami mampu menjaringkan gol. Saya beritahu pemain supaya terus bermain cara biasa, peluang akan tiba.

"Akhirnya, Roma tidak banyak berbuat apa-apa dan ia terserah kepada kami untuk mengekalkan disiplin kami," katanya.

Jurulatih Roma, Claudio Ranieri yang menerajui pasukannya ke tempat kedua dalam Serie A musim lalu, berkata, dia gembira dengan usaha pasukannya, tetapi bukan keputusannya.

"Ia permulaan yang buruk tetapi saya amat gembira dengan pasukan, saya berpuas hati dengan usaha mereka.

"Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati dengan keputusan, ia mungkin satu gambaran yang tidak adil, kerana kami juga sentiasa ada banyak peluang. Mereka menyudahkan apa yang dimiliki.

"Ia memalukan (melepaskan gol pertama). Jelas sekali mereka meningkatkan rentak, mereka dapat dua rembatan dari jauh dan gol hebat ini daripada Mueller.

"Ia satu keaiban kerana kami melakukan amat baik. (Marco) Borriello sudah pun hampir untuk menjaringkan gol dalam babak pertama,

Ibrahimovic pastikan Milan tak berputih mata


Read more... Zlatan Ibrahimovic hilang punca selama 66 minit pada aksi pertama bersama AC Milan, namun tuah pasukannya berubah selepas dia menjaringkan kedua-dua gol ketika menang 2-0 ke atas Auxerre dalam Liga Juara-Juara.

Penyerang berskil tinggi itu berpindah dari Inter Milan ke Barcelona tahun lalu.

Dia kembali ke San Siro, seolah-olah dia tidak pernah kemana-mana, apabila penyokong Milan meraikan kedatangannya semula.

Namun, sorakan tersebut bertukar menjadi situasi mencemaskan, apabila Milan mempamer persembahan suram pada aksi pembukaan Kumpulan G, dengan Ibrahimovic sukar melakukan gerakan, akibat dikekang.

Auxerre, di tangga ketiga liga tempatan musim lalu dan belum lagi memenangi perlawanan Ligue 1 setakat ini, mempunyai peluang gol terbaik sebelum rehat, apabila Adama Coulibaly menanduk bola tetapi terkena palang.

"Serangan balas mereka, memberi kita bantuan. Pada babak pertama, kami bermain dengan baik.

''Ibra mengharungi babak kedua dengan baik kerana dia beraksi dengan pasukan yang lebih baik," ujar jurulatih baru Milan, Massimiliano Allegri.

Allegri, membuat penampilan pertama dalam Liga Juara-Juara seperti mana rakan sejawatnya, Jean Fernandez.

Kevin Prince Boateng yang dipinjamkan ke Milan bulan lalu, beraksi pada babak pertama, menggantikan ketua pasukan yang cedera, Massimo Ambrosini.

Boateng menghantar bola kepada Ronaldinho pada minit ke-66, untuk memberi peluang kepada Ibrahimovic melakukan jaringan.

Ronaldinho, yang tidak memberangsangkan pada babak pertama, mencuba lagi tiga minit kemudian dan gandingannya dengan Ibrahimovic menghasilkan penyudah yang begitu bergaya.

Hero baru Milan itu mengangkat tangan selepas menjaringkan gol sebelum diserbu rakan pasukan.

Auxerre pula tenggelam dalam suasana di San Siro, namun mampu menang jika memiliki lebih keyakinan.

''Kami gagal memanfaatkan peluang gol. Kami kurang pengalaman di sini," ujar Fernandez.

Tuesday, September 14, 2010

Mourinho Mahu Catat Rekod Unik


Read more... Kempen Jose Mourinho untuk mencatat rekod unik dalam Liga Juara-Juara Eropah akan bermula hari ini, apabila pasukan barunya, Real Madrid menerima kunjungan kelab Belanda, Ajax di Santiago Bernabeu.

Mourinho berjaya membimbing gergasi bola sepak Itali, Inter Milan menjulang gelaran elit Eropah itu di Bernabeu musim lalu dengan menundukkan Bayern Munich 2-0. Dia bakal memahat rekod andai mempertahankan kejuaraan bersama pasukan berbeza.

Bekas pengurus Chelsea itu memperoleh kemenangan sulung bersama Real dalam saingan La Liga musim ini dengan membawa juara Eropah sembilan kali itu mengalahkan Osasuna 1-0, Sabtu lalu. Kemenangan tersebut diharap menjadi motivasi terbaik buat mereka untuk mencatat satu lagi kemenangan ke atas juara Eropah empat kali, Ajax.

Pemain sayap Real, Cristiano Ronaldo percaya rakan sepasukannya akan menghadiahkan apa yang diinginkan peminat dan jurulatih, hari ini.

''Mourinho adalah jurulatih terbaik dan saya yakin dia akan buktikan kemampuannya. Tugas kami, bermain dengan baik dan mencari gelaran,'' ujar Ronaldo, yang hampir pasti akan mengisi kesebelasan utama Real.

Sementara itu, Mourinho menegaskan bahawa ejekan yang diterima daripada peminat ketika bertemu Osasuna, Sabtu lalu tidak memberi tekanan kepadanya.

''Saya faham apa yang orang ramai mahukan. Saya juga mahukan yang lebih baik begitu juga pemain,'' kata Mourinho.

Ajax, yang kini dibimbing Martin Jol kembali ke kancah Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2005/06. Malah, kelab Belanda itu turut memburu kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1995.

City, Liverpool mahu ubah nasib


Read more... Manchester City, kelab yang berbelanja besar musim ini tetapi masih gagal membuktikan sesuatu, mahu menukar nasib buruk dalam liga domestik apabila beraksi pada Liga Europa.

Kelab England itu mempunyai banyak persamaan dengan lawan yang bakal ditemui di peringkat kumpulan esok, Salzburg.

Kedua-dua kelab berpengaruh itu, yang berada dalam Kumpulan A, antara 48 pasukan yang bakal memulakan aksi, termasuk juara Eropah, Liverpool, Juventus dan Porto.

Pemain Terbaik Piala Dunia, Diego Forlan pula akan mengetui serangan Atletico Madrid, yang menewaskan Fulham pada final musim lalu apabila berdepan Aris Salonika dalam Kumpulan B.

Seperti City, juara Austria, Salzburg mahu membuktikan perbelanjaan besar harus ditukar kepada gelaran.

Salzburg gagal mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah buat kali keempat dalam tempoh lima musim, termasuk tahun ini, walaupun telah membuat 11 pembelian pemain baru.

Bagi menambah lagi penderitaan mereka, kelab itu memulakan kempen Liga Austria dengan buru apabila hanya memungut lima mata daripada lima perlawanan awal.

Kelab daripada 24 buah negara akan berentap di peringkat kumpulan, namun masih ada negara yang berada di bawah Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak mempunyai wakil dalam saingan ini termasuk Scotland, Serbia dan Sweden.

Buat kali kedua berturut-turut, Liverpool dan Juventus, nama besar yang selalunya beraksi dalam Liga Juara-Juara hanya bersaing pada kejohanan kelas kedua Eropah ini.

Liverpool, yang dilatih Roy Hodgson, jurulatih yang telah membawa Fulham ke final musim lalu, akan bertemu pasukan Romania, Steaua Bucharest, juara Eropah 1986, dalam Kumpulan K, manakala Juventus menanti kunjungan kelab Poland, Lech Poznan dalam Kumpulan A.

Azam Wenger Untuk Arsenal


Read more... Arsene Wenger mengakui, selama 14 tahun mengemudi Arsenal tidur malamnya tidak pernah lena kerana masih gagal membantu gergasi bola sepak England itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

Justeru, Wenger tekad untuk menamatkan badi itu musim ini, dan akan memulakan kempen dengan menerima kunjungan kelab tidak ternama Portugal, Braga dalam Kumpulan H hari ini, perlawanan yang diharap Wenger akan memberi tiga mata kepada skuad Gunners, sekali gus menjadi permulaan positif dalam usaha memperbaiki pencapaian 2006 apabila mereka muncul naib juara buat kali pertama.

Bagaimanapun Wenger memberi amaran kepada pemainnya agar tidak mengambil mudah perlawanan di Stadium Emirates itu, dengan mengandaikan kemenangan sudahpun terjamin menjadi milik mereka.

"Sasaran utama Arsenal esok adalah menang, keputusan seri atau kalah akan dianggap kegagalan. Begitupun, saya percaya cabaran kami lebih sukar dari yang difikirkan.

"Biarpun Braga kurang ternama, namun mereka berjaya mengatasi Porto dalam liga Portugal musim lalu. Kita semua tahu Porto adalah sebuah pasukan yang bagus, malah pernah merangkul kejuaraan Eropah. Jadi, jika Braga mampu mengatasi Porto, bermakna Braga juga sebuah pasukan yang bagus,'' ujar Wenger.

Wenger berharap tonggak pertahanan, Thomas Vermaelen dapat kembali diturunkan selepas mengalami masalah tumit yang memaksa dia diketepikan pada perlawanan menentang Bolton. Ketiadaan Vermaelen digantikan oleh Sebastien Squillaci, yang membuat kemunculan sulung sejak berpindah dari Sevilla.

Sementara itu, satu lagi kelab London, Chelsea akan berdepan kelab kerdil Slovakia, Zilina yang sudah melaungkan amaran tidak akan memberi laluan mudah kepada juara Liga Perdana England itu dalam saingan Kumpulan F.

Zilina merupakan kelab Slovakia ketiga berjaya ke peringkat kumpulan selepas FC Kosice pada 1997-98 dan Artmedia Petrzalka pada 2005-06. Dalam laluan melayakkan diri, mereka mengatasi kelab Malta, Birkirkara, Litex Lovech dari Bulgaria dan wakil Republik Czech, Sparta Prague.

"Kami mahu mengharungi kempen yang baik di peringkat kumpulan. Kami akan menentang lawan yang lebih hebat tanpa rasa gentar, sebaliknya kami tidak sabar hendak berdepan pemain bintang Chelsea seperti Frank Lampard dan Didier Drogba,'' ujar kapten Zilina, Robert Jez.

Drogba bagaimanapun bakal terlepas perlawanan hari ini selepas menjalani penggantungan dua perlawanan kerana memijak dada pemain Inter Milan, Thiago Motta pada pusingan kedua, musim lalu. Dia bakal digantikan oleh Salomon Kalou.

Chelsea juga bakal kehilangan ketua pasukan, John Terry, yang dikeluarkan akibat kecederaan pinggan ketika pasukan itu mengalahkan West Ham 3-1, Sabtu lalu, tetapi akan kembali mendapat sentuhan Lampard yang sudah pulih daripada kecederaan.

Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, naib juara musim lalu, Bayern Munich akan menerima kunjungan pencabar dari Itali, AS Roma dalam Kumpulan E.

Menjelang aksi Liga Juara-Juara, Bayern bergelut dalam kempen liga Jerman apabila diikat tanpa jaringan oleh Werder Bremen, Sabtu lalu. Roma pula kini berada pada moral yang sangat rendah akibat dibelasah Cagliari dalam Serie A.

Jurulatih Bayern, Louis van Gaal akan menurunkan barisan terkuatnya untuk berdepan Roma. Tonggak utama yang terlepas saingan cuma Arjen Robben dan Breno yang mengalami kecederaan, selain Franck Ribery yang digantung perlawanan.

Monday, September 13, 2010

Rooney, Ferdinand kembali gegar


Read more... Selepas aksi terakhir liga domestik berlangsung hambar, Manchester United akhirnya bersedia menurunkan semula bintang penyerang, Wayne Rooney, selain tonggak pertahanan, Rio Ferdinand dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah menentang Rangers di Old Trafford, esok.

Rooney diketepikan dalam perlawanan Liga Perdana menentang Everton, Sabtu lalu, yang berkesudahan 3-3. Alasan pengurus pasukan, Alex Ferguson, beliau mahu melindungi pemain itu daripada menjadi mangsa ejekan penonton ekoran skandal seksnya yang tersebar.

Ferdinand pula kembali cergas daripada kecederaan lutut dan mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama. Ia bakal menjadi penampilan pertama pemain itu selepas turut diketepikan skuad England pada Piala Dunia, Julai lalu.

United mencipta banyak peluang ketika menentang Everton, namun tanpa Rooney dan Ferdinand, mereka masih gagal mencari tiga mata penuh, sekalipun mendahului 3-1 selepas 90 minit permainan.

"Dia (Rooney) akan bermain Selasa ini,'' kata Ferguson.

Rooney, yang sebelum ini merayu media agar tidak mengganggu kehidupan peribadinya bersama isteri, Coleen dilihat kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang lain semalam.

Ferdinand pula sudah menjalani latihan penuh sejak awal bulan ini tetapi tidak diturunkan pada pertemuan menentang Everton kerana Ferguson enggan mengambil risiko ke atas pemain itu.

Begitupun, kekecewaan terhadap benteng pertahanannya yang cuai dengan melepaskan dua gol dalam masa kecederaan ketika berdepan Everton, memaksa Ferguson menurunkan Ferdinand lebih awal daripada jadual.

Sementara itu, Rangers mengharungi kempen yang cemerlang dalam liga domestik setakat ini, memenangi empat perlawanan pembukaan berturut-turut, terbaru menundukkan Hamilton 2-1, Sabtu lalu. Namun, skuad bimbingan Walter Smith itu gagal mencatat sebarang kemenangan daripada enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, musim lalu.

"Prestasi kami dalam Liga Juara-Juara dan liga domestik sangat kontra. Aksi buruk musim lalu menjadi bukti, tetapi kami berharap ia dapat diperbaiki tahun ini dan kami akan cuba mencari keputusan terbaik di Old Trafford,'' kata Smith.

United, yang kini menghuni tangga ketiga Liga Perdana akan turun tanpa pemain tengah, Michael Carrick kerana kecederaan buku lali, manakala Rangers pula tanpa tonggak pertahanan, Kirk Broadfoot.

Turut menjadi tumpuan esok adalah pertemuan Inter Milan menentang kelab Belanda, FC Twente. Biarpun turun sebagai penyandang juara, Inter bergelut dalam saingan awal musim liga Itali.

Jurulatih baru mereka, Rafael Benitez masih gagal mendapatkan bintang baru sejak menyertai kelab itu untuk menggantikan Jose Mourinho. Malah, Inter hanya menang satu daripada tiga perlawanan pertamanya, musim ini.

"Sekarang ini, tidak guna bercakap banyak dan menyalahkan pasukan. Musim baru bermula, kemampuan sebenar kami mungkin dapat dilihat sepenuhnya menjelang Januari nanti,'' kata Benitez, bekas jurulatih Liverpool.

Turut diletak dalam Kumpulan A bersama Inter dan Twente adalah kelab Liga Perdana, Tottenham yang akan berdepan wakil Jerman, Werder Bremen.

Kumpulan G paling sengit dengan membariskan juara sembilan kali, Real Madrid, juara tujuh kali, AC Milan dan juara empat kali, Ajax. Real akan memulakan kempen dengan menentang Ajax esok, ujian terbesar buat Mourinho sejak menyertai gergasi Sepanyol itu.

Hodgson pertahan prestasi Torres


Read more... Roy Hodgson menyebelahi penyerangnya, Fernando Torres selepas prestasi bintang Piala Dunia Sepanyol itu dikritik dalam perlawanan menentang Birmingham yang berkesudahan seri tanpa jaringan kelmarin.

Hodgson berang dengan kritikan yang dilemparkan bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp, yang menyifatkan Torres tidak lagi berminat untuk bermain dengan Reds dan beraksi buruk sepanjang 45 minit.

Hodgson bagaimanapun bingkas mempertahankan pemenang Piala Dunia itu, walaupun jelas dia melepaskan beberapa peluang terbaik sepanjang perlawanan, sekali gus meningkatkan khabar angin dia akan kembali ke Liga Sepanyol.

"Saya tidak mahu berkongsi pendapat dengan orang lain mengenai prestasi Torres. Dia telah bekerja keras untuk pasukan. Dia sentiasa menjadi duri dalam daging kepada pertahanan lawan.

"Anda sepatutnya memuji barisan pertahanan lawan. Dia (Torres) kurang latihan kerana tidak beraksi di penghujung musim lalu dan terlepas perlawanan Piala Dunia. Saya sama sekali tidak risau tentang Torres.

"Dia akan beraksi lebih baik sepanjang musim ini. Dia bukannya hanya memegang watak sampingan. Dia hadir di tengah padang dan mengkucar-kacir pertahanan lawan," kata Hodgson.

Hodgson juga dipaksa menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa, Liverpool tidak mampu bersaing merebut gelaran Liga Perdana England (EPL) musim ini.

"Saya cuma tidak meletakkan sasaran, saya tidak bermaksud bahawa kami tidak boleh menang.

"Jika anda bertanya mampukah pasukan ini muncul juara liga, saya akan berkata saya tidak tahu. Kami akan bekerja keras setiap perlawanan dan melihat di mana kedudukan kami Mei depan.

"Saya berasa hairan kerana selepas empat perlawanan mereka membincangkan tentang siapa yang akan muncul juara. Kami bermain 38 perlawanan,'' katanya.

Sevilla kempunan naik takhta


Read more... Sevilla terlepas peluang untuk berkongsi tangga teratas La Liga bersama Atletico Madrid dan Valencia dengan enam mata selepas sekadar seri 0-0 di tangan Deportivo La Coruna, semalam.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Alvaro Negredo dan pertahanan Perancis, Abdoulay Konko gagal menembusi benteng lawan biarpun beroleh peluang keemasan.

Percubaan terbaik Negredo mencipta jaringan pada babak pertama tidak kesampaian selepas sepakan kencangnya terkena palang gol.

Konko, yang telah menjaringkan dua gol musim ini mengulangi kegagalan Negredo pada pertengahan separuh masa kedua, apabila rembatannya terkena palang.

Deportivo sebaliknya cukup berpuas hati pulang bersama satu mata.

Keputusan seri semalam meletakkan Sevilla di tangga ke tiga liga dengan empat mata, dua mata di bawah Atletico dan Valencia, yang mencatat kemenangans emalam.

Juara bertahan, Barcelona yang dikejutkan 0-2 oleh pendatang baru liga, Hercules kelmarin kini menghuni tangga ketujuh. Real Madrid pula berada pada kedudukan keempat selepas mengalahkan Osasuna 1-0.

Dalam satu lagi perlawanan, penyerang antarabangsa Itali, Giuseppe Rossi menjaringkan dua gol untuk membantu Villarreal mencatat kemenangan pertamanya musim ini, menewaskan Espanyol 4-0.

Rossi, yang juga bekas pemain Manchester United dan Parma menjaringkan gol pada minit ke-23 dan ke-55 bagi membantu pasukannya memperoleh kemenangan besar.

Dua lagi gol mereka disumbangkan oleh Borja Valero dan Nilmar.

Kemenangan ini membolehkan Villarreal melonjak ke tangga kelima liga.

Friday, September 3, 2010

Misi pulih maruah


Read more... Fabio Capello memulakan misi menebus kehampaan Piala Dunia hari ini, dengan menyedari hanya kemenangan selesa ke atas Bulgaria akan memberi perubahan kepada England.

Capello mahu meredakan kritikan yang mencengkam dirinya, akibat aksi buruk pada Piala Dunia lalu.

Selepas melalui tempoh bulan madu, di mana Capello melalui kempen kelayakan Piala Dunia yang amat menakjubkan, namun England gagal beraksi baik pada kejohanan di Afrika Selatan, sehingga kalah 1-4 kepada Jerman pada pusingan kedua.

Sebulan selepas Piala Dunia, Capello terus menjadi subjek jenaka.

Sebuah akhbar tabloid menggelarkan Capello sebagai 'Jackass' dengan menyiarkan gambar jurulatih itu bertelinga keldai, berikutan keputusannya mengetepikan pemain Arsenal, Jack Wilshere kembali ke skuad Bawah 21 England.

Akhbar Daily Mirror pula meminta Capello dipecat minggu depan, menjelang perlawanan pembukaan England menentang Bulgaria pada kelayakan Euro 2012.

Namun, Capello mengetepikan kritikan tersebut dengan penuh keyakinan, kerana rekod gah dengan lima kejuaraan Serie A, dua kejuaraan La Liga dan Piala Eropah sepanjang kariernya di peringkat kelab.

"Saya banyak membaca dan mendengar banyak perkara, namun saya hanya mahu fokus dalam karier saya.

"Saya pejuang. Saya lakukan demi karier, saya bergelut untuk semua ini. Saya di sini kerana saya sukakan karier saya.

"Kami harus fokus pada perlawanan menentang Bulgaria dan Switzerland. Pada masa akan datang, kami akan beraksi di final kerana England adalah negara yang penting dalam kejohanan Euro,'' kata Capello.

Capello juga menafikan dia mengalami masalah bahasa sehingga menjejaskan berkomunikasi dengan pemain.

"Saya tiada masalah dengan pemain. Apabila semuanya baik, Bahasa Inggeris saya baik, cuma keadaan berubah apabila kami kalah kepada Jerman.

Leow Harapkan Kebangkitan Rakan


Read more... Jerman berdepan Belgium hari ini dengan jurulatih Joachim Loew, menjangkakan tiga mata pada aksi pembukaan kelayakan Euro 2012, ketika pasukan itu mahu meneruskan momentum Piala Dunia.

Skuad muda Loew di tempat ketiga pada Piala Dunia dan muncul naib juara Euro 2008, apabila kalah di final kepada Sepanyol.

Mereka merupakan pasukan pilihan untuk memenangi kelayakan Kumpulan A.

Jerman beraksi tanpa ketua pasukan Michael Ballack, yang diketepikan untuk aksi di Brussels dan perlawanan berikutnya menentang Kazhakstan di Cologne, ketika dia berusaha untuk pulih daripada kecederaan pergelangan kaki, yang menyebabkan dia terpinggir dari Piala Dunia.

Philipp Lahm akan menggalas tugas ketua pasukan ketika ketiadaan Ballack,

Pasukan itu akan menurunkan skuad utama pada aksi di Stadium Roi Baudouin, cuma kebimbangan ialah mengenai kecederaan pemain pertahanan Arne Friedrich, Jerome Boateng dan Dennis Aogo.

Loew berkata, ketika pasukannya menerima pujian kerana prestasi baik pada Piala Dunia, kini tiba masa untuk menggunakan pengalaman yang diraih di Afrika Selatan.

"Seperti mana manisnya pujian kerana prestasi kami pada Piala Dunia, maka babak baru dalam memberikan cabaran yang menarik juga bermula

"Matlamat kami ialah meraih enam mata pada dua perlawanan pertama,'' kata Loew.

Jerman di tangga keempat dalam ranking dunia manakala Belgium di ranking ke-48 di belakang Burkino Faso dan Venezuela.

Di bawah jurulatih baru, Georges Leekens sejak Mei lalu, Loew menjangkakan Belgium akan memberi masalah kepada Jerman pada aksi di tempat sendiri.

Leekens memiliki beberapa pemain muda berbakat dalam skuadnya.

Penyerang remaja, Romelu Lukaku, yang berusia 17 tahun, diburu banyak kelab terkemuka Eropah dan Eden Hazard, 19, dari kelab Perancis, Lille juga merupakan antara pemain berbakat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...